Ini cerita tentang abah saya.
Gambar pertama yang ada saya dan abah saya (walaupun bahagian abah saya yang ada dalam gambar tu hanyalah tangan dia) ialah gambaq semasa saya masih bayi.
Gambar tu, satu tangan abah saya sokong celah kaki saya satu tangan lagi nampak macam tengah mencengkam dada saya.
Tapi muka saya tak macam orang sesak nafas pun, dengan mata ceme, bibir sedikit terbuka, riak wajah yang mulus dan tulus berbaju merah jambu pudar.
Mata ceme tu apa?
Mata ceme (bacaan e macam cerek) ialah mata sepet yang kuyu.
Semasa darjah satu, cikgu Bahasa Melayu saya menyuruh semua orang membawa satu pantun ke sekolah.
Saya sangat gembira sebab pantun saya lain dari yang lain.
Orang lain punya pantun banyak ada ayat ular dalam mangkuk?
Nak tahu apa pantun saya?
Saya ada dua pantun, tapi saya ingat satu sahaja dari dua pantun itu, pantun yang abah saya beri
Limau purut tiga serangkai,
Buta perut tiada akai.
Bunyi macam pelik, tapi tak apalah, asalkan tiada ular dalam mangkuk mahupun periuk.
Sebagai balasannya, semasa ibu bapa saya dipanggil ke sekolah kerana masalah disiplin saya, abah saya perlu pergi.
Terima kasih abah sebab pergi.
Ok, setelah dicepatkan cerita, makanya saya sudah pun bersekolah menengah.
Pada suatu cuti sekolah, abah saya seperti biasa bawa saya meronda pulau kecuali di bahagian timur.
Kami ke Penang Road dan maaf, saya tak ingat kami makan cendol atau hanya minum air lengkong/cincau.
Yang pastinya, saya tidak membuka topi keledar dan saya turun dari motosikal abah saya.
Kemudian setelah selesai mendinginkan tekak, kami bersedia untuk bergerak.
Tetapi...
sedang saya menghayunkan kaki untuk duduk di atas motosikal, abah saya telah pun membawa motosikal.
Maknanya apa?
Maknanya abah saya tidak perasan yang saya belum naik dan membawa motosikal itu dengan lajunya mara ke destinasi seterusnya.
Saya terpinga-pinga sebentar.
Tak sempat dah nak memikirkan alamak, ada orang perasan ka insiden ni (Penang road terkenal banyak orang. ianya kawasan pelancong)
Dan pada masa itu, kami berdua, saya dan abah saya masih belum menggunakan telefon bimbit.
Dan saya memang hanya ada diri saya, pakaian yang dipakai dan helmet saja.
Takkan nak minta sedekah cik tolong sedekah saya lima kupang nak telefon rumah.
Kalau rumah saudara terdekat ialah rumah mak chaq kat Jelutong.
Kalau jalan kaki, agak-agak pukul sebelas malam baru sampai.
Tapi tak mengapa, balai polis daerah timur laut berdiri megah di depan saya.
Alkisahnya, dalam sepuluh ke lima belas minit kemudian abah saya kembali mendapatkan saya.
Lamakan?
Ada 2 inferens yang boleh dibuat.
Dia mengambil masa sebegitu lama untuk kembali mendapatkan saya kerana dia lambat menyedari saya tiada membonceng di belakangnya.
Inferens kedua, dia mengambil masa sebegitu lama untuk kembali mendapatkan saya kerana dia telah membawa motosikal dengan lajunya sampai ke mana-mana hala dan kemudian mencari saya di sepanjang perjalanan.
Apa-apa pun, teghima kasih abah sebab mai patah balik kutip cek yang abah terciciaq tepi gerai lengkong/cendoi.
Kemudian, sewaktu saya ke temuduga biasiswa Bank Negara Malaysia, abah saya yang mengiringi saya.
Dengan beg membeli belah berisi pakaian yang akan diapakai di temuduga dan bekal samosa yang mak saya buat, kami menaiki bas malam ke Kuala Lumpur.
Perlu diingatkan, saya pergi pada bulan April 2007.
Ya, saya tidak pernah ke Kuala Lumpur secara bertaruh seperti itu. (Lagipun saya pernah pergi KL dua kali sahaja sebelum tu. Abah saya pernah pergi kot, masa dia belum kahwin dulu)
Kami tidak tahu jalan dan pengangkutan di Kuala Lumpur.
Malah, pintu utama Bank Negara pun kami tidak tahu di mana.
Ok, mari jujur sedikit di sini.
Kami tiba di KL Sentral sebelum subuh, temuduga bermula pukul lapan pagi dan bilik mandi hanya akan dibuka ada pukul 7 pagi. Temuduga bermula rasanya pada 8pagi takpun 830 pagi.
Semestinya mandi terkeluar dari persoalan.
Nasib baik di surau ada pili dan saya ada membawa tuala.
Maka, saya bertukar nama dari Lina ke Grace pada hari itu (baca : tidak mandi satu hari adalah biasa bagi Mat Saleh)
Maka saya dan abah saya pun menjadi pengembara pada hari itu.
Navigasi yang bagus, terima kasih kepada info-info di sepanjang perjalanan, sama ada dari papan kenyataan, panggilan awal pagi ke rakan sekolah yang kembli pulang ke KL setelah 5 tahun di SOKSEK, serta mamak India jual surat khabar tepi stesen KMB mahupun mak cik jual kuih muih tepi jalan, kami tiba di hentian Bank Negara.
Kemudian, kami mengikut kata hati dan alhamdulillah, sampai juga ke tempat yang sepatutnya dan ya, kami tiba awal.
Sempat bersarapan di cafeteria Bank Negara lagi.
Seronok saya melihat rutin pagi di Bank Negara.
Paling mantap, hampir kesemua wanita yang tiba punya 2 beg tangan. Sangat berkerjaya ya.
Ada 7 orang kesemuanya yang menghadiri temuduga hari itu, dan saya satu-satunya yang mengusung tiga beg. Memang macam backpacker.
Yang saya risau ketika itu ialah abah saya. (kerisauan yang tidak perlu pun, sebab apa?)
Temuduga akan berlangsung dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang.
Maksud saya, takkan abah saya nak duduk di lobi itu seharian kan.
Ok, rehat makan tengah hari adalah panjang memandangkan itu hari Jumaat.
Entah kenapa setengah jam sebelum rehat saya gastrik yang sangat.
Selepas saya meminum air oren dan rakan yang lain makan tengah hari, saya ke lobi untuk mencari abah saya, yang TIADA di situ.
Kawan-kawan yang lain semuanya ke muzium duit. Oh, kecewa juga tak dapat ikut, tapi sakit sangat perut.
Sampai saya naik semula dengan Kah Mun dan Danial pun abah saya tidak ada.
Selesai temuduga yang sangat saya suka (saya suka semuanya ~ konsep temuduga, kenalan-kenalan temuduga dan kakak-kakak HR), saya akhirnya dapat menghubungi abah saya.
Dia sedang minum petang di kafeteria, dengan KAWAN BARU yang dia jumpa semasa smbahyang Jumaat.
Sebab tu la saya katakan, kerisauan yang tidak perlu pun.
Kami ke Pudu, makan KFC dan mengambil bas pulang ke Pulau Pinang malam itu juga.
Di dalam bas, saya ada satu rasa, rasa terima kasih tidak terhingga, sebab abah saya menemani saya.
Itu backpacking yang tidak akan pernah dilupakan sampai bila-bila.
Saya pergi dengan perasaan takut, tidak pasti apa yang saya akan hadapi.
Jujur, situasi ini selalu terjadi, takut, rasa keseorangan, lebih-lebih lagi dua tahun pertama di sekolah menengah dulu, tapi April itu saya pergi lebih stabil, sebab saya tahu, abah saya ada bersama dengan saya.
Abah, my endless gratification for giving me the chance to have a father up until now. I know friends who grew up not knowing a father. And I'm glad that I had mine and still having it.
Jasa abah tandatangan report kad dan segala jenis borang takkan dilupakan.