Saya pernah ada seorang datuk. Saya memanggilnya Tok Appa. Tok Appa yang saya kenal ialah seorang yang buta. Masa kami suntuk. Diisi dengan nasihat dan cerita zaman Jepun.
Di Prague tempoh hari, ada seorang perempuan buta di Tesco MyNarodni. Tempat itu penuh padat dengan sardin. Perempuan buta itu memanggil-manggil pertolongan dengan suara berdesibel rendah, namun masih boleh didengari. Seorang pejalan kaki mendengar permintaan perempuan buta itu lalu menghulurkan tangan meringankan beban. Hati saya tersentuh. Dua orang yang langsung tidak mengenali, tangan mereka bertaut rapat merentasi jalan yang agak sibuk. Untungnya perempuan buta itu, dirinya menjadi sumber manusia untuk mengaut pahala. Bukan senang meminta bantuan orang lain sebab belum tentu orang akan ikhlas membantu. Untungnya orang yang memimpin perempuan buta itu kerana dia ada 2 bola mata yang berfungsi, yang dapat digunakan bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri malah dapat menolong yang lain. Untungnya 2 orang ini, dapat memberi contoh yang baik untuk yang lain. Semoga mereka dipimpin terus masuk syurga. Tidak lupa kepada watak sampingan yang bersidai di sisi kedai lorong Narodni Trida yang terus mengalih posisi bila mendengar libasan tongkat di batu jalan.
Kini saya di Freiburg, bandar mesra alam. Kalau di Czech, nisbah anjing bersaiz serigala kepada anjing bersaiz mini ialah 1:20, di sini nisbahnya ialah 10:1. Disebabkan saya telah membeli tiket bulanan yang berharga hampir 50 Euro, saya suka hati perut menggunakan pengangkutan awam seboleh mungkin. Hari itu di atas tram, saya berjumpa seekor anjing bersaiz serigala. Damai, mata kuyu, merehatkan kepala di atas dua kaki hadapannya. Sejuk hati tengok anjing tu. Tengah mengusha anjing itu, saya baru terperasan yang anjing itu sakit sebab dia ada "neck and shoulder braces". Usha lagi dahsyat, baru perasan simbol yang tertera. Oh, anjing yang khas dilatih untuk orang buta. Pandang perempuan bersama anjing itu. Oh, dia buta. Muka dia pandang terus ke depan, berpakaian kemas. Sampai di hentian Hauptbanhof, perempuan itu menarik tali anjing berkenaan dan meraba kepada palang braces. Anjing itu bangun menjalankan tugas, memimpin perjalanan perempuan itu. Semasa kecil, anjing bagi saya ialah bontot terkeluar, suka hambat orang dan kurap. Bila di universiti saya fikir beberapa spesies anjing adalah comel. Sekarang saya fikir, anjing itu hanya najis pada air liur dia. Dan bila pertama kali jumpa anjing untuk orang buta, rasa macam kena sepak pun ada. Tiba-tiba terus teringat kisah haiwan di atas bahtera nabi Nuh dan anjing ashabul kahfi yang dijanjikan syurga.
Terima kasih Allah ciptakan orang buta, orang sempurna pancaindera dan anjing.
No comments:
Post a Comment